Wednesday, December 21, 2016

REVIEW 5: ANALISIS DRAMA “MAHKAMAH”: PENDEKATAN IMPERATIF



PENGENALAN
Sebuah drama memiliki daya yang kuat untuk mengajak pemerhatinya ke dunia yang menguji pemikiran, paling tidak, menyedarkan khalayak akan situasi yang cuba digambarkan. Jika dilihat pada perkataan “drama” itu sendiri, ia berasal dari kata Yunani, draomai yang bererti berbuat, bertindak, bereaksi dan yang seerti dengannya. Umumnya pula, drama itu berbentuk naskhah yang menggambarkan kehidupan dan watak manusia dalam bertingkah laku dan boleh juga dipentaskan. Maka jika didalami semuanya, dapat dianggap peranan drama ini dalam menjadi agen menyampaikan suatu mesej kepada subjeknya (khalayak) tetapi terpulang kepada garapan penulisnya dalam mencorak “kanvas” penulisannya. Jadi, suatu naskhah berkualiti itu juga tidak dapat lari dari soal siapa gerangan penulisnya. Drama  “Mahkamah”, naskhah cetusan idea Awang Abdullah, merupakan sebuah drama pendek yang menduga pemikiran pembaca melalui aturan cerita yang tersusun dan ringkas. Awang Abdullah boleh disifatkan sebagai seorang pengarang angkatan baru. Namun aktiviti berkaryanya sudah lama tumbuh iaitu sejak tahun 1970-an lagi. Di samping aktiviti penulisan skrip, beliau juga aktif dalam dunia persajakan. Antara hasil karya beliau selain “Mahkamah” termasuklah Sajak-Sajak Telegram, Memori Bukit Besi dan Susakurasan. Kembali kepada drama “Mahkamah”, naskhah ini telah menjadi sebahagian daripada komponen sastera (KOMSAS) bagi Tingkatan 2. Daripada tajuk drama ini sahaja kita dapat membayangkan bahawa situasi yang berlaku pasti ada kena mengenanya dengan mahkamah tidak kira dari aspek latar, penceritaan dan sebagainya.

SINOPSIS
Sebagai sinopsis, drama ini memaparkan tiga kes yang menjalani perbicaraan. Kes pertama ialah Bulat bin Gentel. Dituduh menyebabkan kematian seorang nenek berusia 99 tahun di Taman Sekebun Bunga. Bulat tidak mengaku bersalah. Menurut pendakwa raya, nenek itu terpijak kulit pisang yang dibuang oleh Bulat lalu terjatuh dan mati dalam perjalanan ke hospital. Peguam bela menerangkan fakta, bahawa Bulat membuang kulit pisang itu ke dalam tong sampah. Walau bagaimanapun, seekor kambing yang lapar datang menyelongkar tong sampah dan menyebabkan kulit pisang tercampak ke jalan raya. Ketika itulah nenek tersebut terpijak kulit pisang dan terjatuh. Peguam bela berpendapat pemilik kambinglah yang harus didakwa kerana membiarkan kambingnya berkeliaran. Bulat dibebaskan daripada dakwaan kerana pihak pendakwa gagal meyakinkan mahkamah bahawa Bulat bersalah. Setelah mahkamah berhenti berehat, maka kes kedua pula disambung. Kes kedua iaitu kes Ajinomoto yang dituduh mencuri seekor beruk bersubsidi dalam stor JKK Ulu Dungun. Ajinomoto mengaku bersalah. Dia mahu memulangkan beruk yang sedang hamil itu. Namun, dia ingin memelihara pula anak beruk yang bakal lahir  itu. Mahkamah memerintahkan beruk hamil berkenaan dipelihara oleh Ajinomoto sehingga selamat melahirkan anak. Namun sementara ibu beruk itu di dalam pantang, Ajinomoto perlu menggantikan tugasnya memanjat pokok kelapa. Sekali lagi mahkamah berhenti berehat setelah kes kedua selesai. Seterusnya bersambung dengan kes ketiga di mana Bujang bin Senang didakwa memukul isterinya Siti Payung binti Haji Kedekut. Bujang tidak mengaku bersalah. Siti mendakwa suaminya menipu ketika mendapatkan keizinan untuk berkahwin lain. Siti telah mendedahkan keburukan suaminya di mahkamah itu. Siti meminta suaminya menceraikan isteri keduanya, sebaliknya suaminya salah faham dan menceraikan Siti pula. Siti mengamuk setelah mendengar lafaz talak daripada Bujang. 

ANALISIS DRAMA
Apabila menelusuri keseluruhan cerita dan melihat makna disebaliknya, terdapat beberapa aspek yang boleh disentuh. Namun, penulisan ini akan fokus kepada aspek watak dan perwatakan, latar, dan akhirnya menjurus kepada pendekatan imperatif serta pemikiran yang terkandung di dalamnya sehingga dapat dikaitkan dengan realiti yang berlaku di sekeliling. Pemikiran ini termasuklah rasa dan makna, emosi dan sentimen, serta modal insan yang seterusnya dihubungkaitkan dengan realiti hari ini.

Watak & Perwatakan
Bercerita tentang watak dan perwatakan, terdapat pelbagai individu diwujudkan Awang Abdullah dengan penamaan watak yang begitu seiras dengan makna tersirat yang ingin disampaikan.

A) Hakim 
Watak utama adalah hakim, pendakwa raya dan peguam bela yang berada dalam situasi ketiga-tiga kes iaitu kes Bulat, kes Ajinomoto dan kes Bujang. Hakim dilihat sebagai seorang yang adil dan saksama. Ini dapat dibuktikan ketika kes Bulat sedang berlangsung. Bulat adalah seorang yang miskin dan tidak mampu mengupah peguam bela sendiri. Demi memberikan khidmat dan perbicaraan seadilnya kepada Bulat, hakim mengarahkan supaya dia dibela oleh seorang peguam secara percuma. Hakim juga seorang yang rasional. Beliau mendengar hujah-hujah pendakwa raya dan peguam bela terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Kerasionalan ini memberi satu gambaran bahawa keadilan itu adalah suatu perkara yang diangkat tinggi dalam institusinya. Sifat prihatin juga dilihat wujud dalam watak hakim ini. Di dalam kes Ajinomoto, tertuduh diarahkan untuk memulangkan ibu beruk setelah tempoh pantang selama empat puluh hari. Hakim bersifat prihatin terhadap keadaan ibu beruk yang akan melahirkan anak. Selain itu, perwatakan yang dilihat ketara dengan hakim ialah karakternya sebagai seorang yang bertanggungjawab. Hakim menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi dan memastikan keadaan di mahkamah tidak kecoh.
  
B) Pendakwa Raya
Seterusnya ialah pendakwa raya. Sebagai seorang pendakwa, watak ini dilihat sebagai seorang yang berilmu pengetahuan. Di dalam aliran cerita pada babak perbicaraan Ajinomoto, pendakwa raya telah berjaya menerangkan maksud dan istilah beruk subsidi dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan menggunakan kamus sebagai bahan rujukan berasas. Akibat daripada keadaan ini, watak juga bersifat seorang yang bijak dan licik. Watak dipuji oleh hakim setelah berjaya menerangkan tentang beruk subsidi tanpa menimbulkan sebarang keraguan terhadap kesasihan maklumat yang diberikan kepada pihak yang mendengarnya.

C) Peguam Bela
Peguam bela pula digambarkan sebagai seorang yang tidak menepati masa. Ini berlaku ketika kes Bulat hendak dimulakan, tetapi peguam bela masuk agak lambat ke ruang perbicaraan, Watak ini juga dilihat sebagai seorang yang licik kerana berjaya melepaskan Bulat bin Gentel daripada tuduhan menyebabkan kematian seorang nenek tua. Walaupun perwatakannya tidak selari dengan karakter yang sepatutnya ada pada seorang peguam bela, namun ada juga kebaikan yang dihidupkan kepada watak ini. Contohnya sifat tegas yang ditonjolkan. Peguam bela beberapa kali mengingatkan pendakwa raya supaya tidak mengganggunya berhujah dan tidak mengganggu perjalanan mahkamah. Hal ini berjaya membuatkan hakim mengeluarkan kad kuning kepada pendakwa raya. Watak juga bersifat baik hati kerana memberikan khidmat secara percuma kepada Bulat yang miskin.

D) Bulat Bin Gentel
Bulat bin Gentel adalah seorang yang pengotor kerana membuang sampah merata-rata. Namun demi kepentingan dirinya dalam perbicaraan, Bulat sanggup menipu dengan menggunakan kambing sebagai alat meloloskan diri dari pertuduhan.

E) Ajinomoto
Ajinomoto pula adalah individu berbangsa Jepun yang  tidak memahami bahasa Melayu. Tetapi dia telah mengaku bersalah dan masih berniat untuk menjaga beruk bersubsidi walaupun pertuduhannya ialah mencuri beruk JKK Ulu Dungun tersebut. Ini menonjolkan sifat penyayang Ajinomoto terhadap binatang.

F) Bujang Senang
Bujang Senang adalah seorang yang miang dan licik dengan hidup berpoligaminya yang mendapat tentangan isteri pertama (Siti Payung binti Haji Kedekut).

G) Siti Payung Binti Haji Kedekut
Siti Payung pula adalah isteri kepada Bujang Senang yang cirinya tidak mudah dipermainkan. Watak ini dilihat sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan apa yang dirasakan wajar dan betul. Ini tergambar dengan setiap keburukan suaminya yang dimaklumkan kepada hakim sebagai tanda protesnya kepada tindak-tanduk si suami.
           
Latar     
Setiap watak yang dicipta berlangsung dalam latar masa yang sama iaitu pada waktu siang di sesi perbicaraan mahkamah. Latar tempat adalah di mahkamah. Menyentuh tentang latar masyarakat pula, terdapat beberapa latar yang dapat diperolehi. Pertamanya, masyarakat yang tidak releven. Masyarakat yang digambarkan memperlihatkan situasi perbicaraan pada suatu kes yang remeh dan seharusnya boleh diselesaikan tanpa melibatkan mahkamah.  Latar masyarakat berbilang bangsa juga dapat dikenal pasti. Bukan sahaja kaum Melayu, malah bangsa Jepun juga diwujudkan dalam drama ini. Masyarakat yang bersistem juga boleh dikaitkan dengan drama ini. Mereka memiliki institusi kehakiman yang membela insan tertuduh daripada didakwa bersalah dan dikenakan hukuman.

Sebagaimana yang difahami, pendekatan imperatif itu bertolak daripada modul drama realisme, iaitu rentetan peristiwa yang benar-benar berlaku dalam kehidupan masyarakat dan kebudayaannya tetapi tidak mengemukakan sebarang kesimpulan. Khalayak dibawa memasuki satu wacana persoalan kehidupan, kadangkala diapi-apikan dengan sengaja, dan akhirnya khalayak sendirilah yang membuat kesimpulan menurut acuan aliran masing-masing. Apabila melihat pengakhiran kepada drama “Mahkamah”, tiada resolusi yang disajikan kepada khalayak kerana ianya berakhir dengan adegan isteri kepada Bujang mengamuk dan lampu dimatikan. Ini bermaksud penulis meminta khalayak mengambil pendirian masing-masing dan membuat kesimpulan sendiri setelah teks memaparkan persoalannya. Ini selari dengan teks imperatif yang mengizinkan khalayak itu mengidentifikasi dirinya dengan sebarang kumpulan, kelas atau aliran pemikiran tertentu. Ini bermakna juga mereka melihat drama dari sudut konteks diri masing-masing.

Rasa dan Makna        
Jalan cerita dan kewujudan watak ini adalah dua bentuk langkah dalam penulisan drama yang boleh dianalisis maknanya. Dalam berkarya dan menulis secara bersastera, teks muncul sebagai salah satu bentuk ekspresi rasa dan makna halus yang ditunjangi aliran budi dan jiwa kebudayaan karyawannya. Teks menceritakan tentang kronologi peristiwa, digubah menurut plot cerita, dijalin kemas menerusi dialog dan persimbolan sehinggalah tergubah suatu penceritaan yang menyampaikan rasa dan maknanya. Rasa dan makna itulah dihidupkan menerusi kombinasi unsur-unsur yang datangnya dari dalam teks dan dari luar teks. Makna yang tersirat tidak muncul dalam teks, tetapi disampaikan kepada khalayak dalam bentuk prakata bagi teks yang telah diterbit. Dalam “Mahkamah”, tidak mungkin Awang Abdullah memberikan garapan yang memiliki makna dan rasa secara terus. Beliau secara tersirat telah mengajak khalayak merungkai kias-kias cerita bagi menyelami apakah mesej sebenar yang cuba disampaikan. Di sini, akan wujud pendekatan yang digunakan bagi merungkai teks dan makna bagi sesebuah drama. Soal rasa dan makna ini akhirnya berbalik kepada penulis itu sendiri. Apa yang cuba digambarkan, apa isi tersurat dan tersirat yang perlu dirungkai dan apa makna disebalik kiasan yang penulis selitkan di dalam penulisan adalah antara persoalan yang mungkin dibayangkan khalayak dalam menginterpretasi karya “Mahkamah” ini.

Emosi dan Sentimen
Sesuatu yang ,menarik ialah bagaimana emosi dan sentimen diperlihatkan secara kiasan di dalam drama ini. Penamaan bagi watak-watak tertuduh sahaja sudah jelas membuktikan kiasan ini dan makna disebaliknya. Akal Melayu sudah teruji dengan tindakan yang bijaksana selama mereka tidak diselaputi oleh emosi dan sentimen. Ini terbukti melalui setiap ciptaan kiasan Melayu yang telah melalui ujian masa serta ujian penggunaannya dalam masyarakat. Bidalan dan pepatah merupakan “peribadi” atau ciri-ciri bangsa kerana ia menggambarkan watak ahli-ahli bangsa tersebut melalui kehidupan bermasyarakat dengan amalan dan lingkungan budayanya. Orang Melayu terutamanya di kalangan masyarakat feudal pada zaman dahulu sentiasa berfikir panjang dalam menyatakan hasrat, kehendak, nasihat, teguran dan kritikan kerana berhati-hati serta bimbang akan menyinggung perasaan orang lain. Maka, mereka lebih gemar menggunakan kiasan sebagai salah satu medium untuk   menyampaikan maksud yang tersirat. Walaupun niat sebenar untuk menyampaikan rasa emosi dan sentimen itu, namun masih mengekalkan jiwa Melayu yang bersopan dan beradat. Awang Abdullah telah menggunakan stail ini dalam penamaan watak “Mahkamah”. Pertamanya dapat dilihat pada Bulat bin Gentel. Kiasan ini jelas menunjukkan persamaan kepada tahi hidung yang berbentuk bulat dan biasanya digentel sebelum dijentik merata. Ini bertepatan dengan aksinya dalam cerita yang membuang kulit pisang merata-rata. Sifat pengotor itu yang lebih sesuai dalam memaknakan kiasan tersebut. Pada Ajinamoto pula, nama itu cukup memperlihatkan watak seorang individu berbangsa Jepun yang tidak mengerti bahasa Melayu. Awang Abdullah memilih nama ini berikutan jenama Ajinamoto itu sendiri yang cukup sinonim dengan masyarakat kita di Malaysia. Mendengar pada namanya sahaja, sudah tahu asalnya dari negara matahari terbit. Seterusnya ialah Bujang Senang yang secara bidalannya merujuk kepada buaya. Dalam konteks hari ini, buaya darat itu lebih melihat kepada lelaki yang bersikap kaki perempuan. Tanpa mencetuskan dialog yang menunjukkan watak adalah lelaki miang, khalayak diberikan dengan tanggapan awal berdasarkan penamaan Bujang Senang. Isterinya pula adalah Siti Payung binti Haji Kedekut. Dunia hari ini, perkataan payung boleh sahaja menjadi sensitif kepada golongan kaum hawa lantaran ‘payung emas’ itu adalah ganjaran mereka di syurga sekiranya sanggup berkongsi suami dengan hawa yang lain. Namun, rata-rata wanita sudah pasti berat hati untuk menerima kenyataan yang mereka akan berpoligami. Ini cukup cantik dan ketara dengan penamaan Siti Payung binti Haji Kedekut!

Kritis
Karya Awang Abdullah ini juga tidak lari dari ajakan berfikir secara kritis.kepada khalayak. Jika dilihat pada senario sekarang, sebahagian besar masyarakat seolah-olah   memahami maksud kritis itu dengan hal-hal yang negatif. Inilah realiti budaya fikir masyarakat dewasa ini. Disebabkan itu, perkataan ‘kritis’ dan ‘kritik’ difahami dalam kesatuan makna yang sama. Justeru, kedua-dua perkataan ini amat tidak disenangi disebabkan kefahaman seperti itu. Secara umum, perkataan kritis berasal daripada perkataan Inggeris ‘critic’. Namun begitu, kata dasar ‘kritis’ merupakan perkataan Greek ‘Kriths’ yang bermaksud menimbang. Menimbang pula bermaksud menilai, membezakan, memutuskan dan menyoal sama ada sesuatu perkara itu benar atau sebaliknya. Sehubungan itu, pemikiran kritis tidaklah sekadar disempitkan pengertiannya kepada soal-soal mengkritik. Ia harus difahami, dihayati dan dipraktikkan. Jika dilihat aspek pemikiran kritis ini, drama “Mahkamah” membawa kita kepada pelbagai sudut pemikiran. Melihat kepada situasi mahkamah dan mengaitkannya dengan realiti institusi tersebut pada hari ini, dapat dirungkai apa yang tersirat dalam setiap plot cerita. Institusi kehakiman itu merupakan satu medan mencapai keadilan. Jika diamati dalam penceritaannya, Awang Abdullah mempamerkan tiga kes yang kesemuanya adalah tidak relevan untuk dijadikan kes, lebih-lebih lagi hal remeh dan boleh diselesaikan di luar mahkamah. Satu lagi perkara yang dapat difikirkan di sini ialah ketelusan institusi kehakiman. Walaupun hakim adalah seorang yang adil, namun keputusannya dalam membuat tindakan susulan adalah bergantung juga kepada fakta-fakta yang dikemukakan daripada kedua peguam bela dan pendakwa raya. Ini menimbulkan buah mulut yang mengatakan yang bersalah boleh dibebaskan dan yang tidak bersalah juga boleh dipenjara. Nasib mereka seolah-olah terletak pada tangan peguam yang membela mereka. Ini sangat bertentangan dengan institusi kehakiman di akhirat yang sudah pasti sentiasa betul. Penulis berjaya memperlihatkan realiti itu dalam penceritaannya. Walaupun pada hakikatnya Bulat bersalah, namun kerana pihak peguam bela berjaya menimbulkan keraguan dengan mengatakan kambing yang menjadi punca, maka Bulat didapati tidak bersalah. Walaupun teks di dalam drama ini berbaur komedi dan penerimaannya dikatakan mudah, namun jika ditelusuri, makna dalam cerita ini jauh melangkau kepada realiti yang berlaku dalam dunia sebenar.

Modal Insan
Nilai insan atau keinsanan juga membawa kita kepada pemikiran bahawa banyak aspek pendidikan yang diperoleh walaupun dengan hanya membaca karya sastera. Karya ini termasuklah drama atau yang lainnya seperti novel, cerpen, dan puisi. Memetik nukilan Riris (2002), dalam bukunya: “mengingatkan karya sastera yang selain dapat memperhalus budi dan mendewasakan manusia, juga mampu menggugah rasa dan pemikiran. Pengalaman berfikir inilah yang sangat diperlukan semua siswa (anak muda) dalam pertumbuhannya menjadi manusia utuh”. Secara lebih mendalam, akan melahirkan modal insan yang berwatak terpelajar.

Zulkiflee (2006) memberikan lima ciri insan sempurna yang diteladani daripada para Rasul iaitu:

1.  Berfungsi sebagai abid dan khalifah Allah SWT.
2.  Manusia perlu menjaga kemuliaan dan menjadi modal untuk manusia lain.
3. Mempergunakan keupayaan sebagai cara untuk proses menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.
4.  Mengambil pedoman daripada umat yang melanggar ajaran Rasul serta melakukan kerosakan sebagai sebab untuk mendapat balasan Allah SWT.
5.  Pembangunan insan memiliki ciri-ciri muttaqin, shakirin, mukminin dan mukhlisin.

Oleh yang demikian, berdasarkan pemahaman tentang konsep modal insan seperti dijelaskan, pencirian tersebut dapat dikaitkan dengan watak utama dalam “Mahkamah” iaitu hakim. Sebagai ketua dalam perbicaraan, watak ini perlu menjadi medan rujukan dalam menghasilkan keputusan yang adil dan saksama. Ini dapat   dilihat daripada ketegasan hakim dalam setiap tindak-tanduknya semasa perbicaraan berlangsung. Sebagai pengajaran atau pedoman kepada yang lainnya, hakim akan menjatuhkan hukuman setimpal dengan setiap perbuatan pesalah. Namun, dalam babak terakhir yakni kes ketiga, Awang Abdullah meninggalkan satu ruang berfikir yang mengajak khalayak terlibat sama dalam mencari makna dalam interpretasi masing-masing. Ini menjadikan naskhah ini sebagai bahan yang baik untuk dibaca walaupun secara luarannya, teks ini berbaur komedi. Namun mesej disebaliknya   menjangkaui lebih dari sekadar bahan gelakan. Ia mengajak khalayak membawa bersama pemikiran, yang seterusnya dapat dihubungkan dengan realiti yang berlaku di sekeliling.

KESIMPULAN

Walaupun drama “Mahkamah” tampak mudah untuk difahami, namun makna di sebaliknya tidak juga ditunjuk secara langsung, tetapi perlu difahami intipati sebenar di sebaliknya. Ini bergantung kepada sejauh mana kefahaman dan pendirian pemerhati terhadap situasi yang digambarkan dan mengaitkannya dengan apa yang berlaku di sekeliling. Teks “Mahkamah” dikatakan mengikut kerangka imperatif kerana bersandar dengan modul drama realisme tetapi tidak terus kepada kesimpulan. Namun, kesimpulan itu tidaklah akan sama semuanya dengan satu sama lain kerana di pengakhirannya, akan mengikut acuan interpretasi masing-masing. Pemikiran di sebalik karya ini bukanlah sekadar jenaka dan gelak tawa watak-watak yang cuba ditimbulkan, namun dari peringkat pemikiran yang lebih dalam, ianya dapat dikaitkan dengan pemikiran berkaitan rasa dan makna, emosi dan sentimen, kritis dan keinsanan (modal insan). Deduksinya, dapat dikatakan naskhah “Mahkamah” oleh Awang Abdullah adalah sebuah karya yang boleh diangkat sebagai wadah pemikiran dalam konteks masyarakat masa kini.

5 comments:

  1. Assalamualaikum bagaimana saya hendak mencari naskah skrip penuh mahkamah karya Awang Abdullah ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. buku komsas antologi baik budi indah bahass tingkatan 2

      Delete
    2. nth lah boss .. pndai" lah kau cari😂

      Delete
  2. Boleh emailkan pada saya di email mannfawzann@hotmail.com

    ReplyDelete